Keputusan tersebut adalah sebahagian langkah Felda untuk memperluas peranan agensi berkenaan sesuai dengan prinsip berkongsi kekayaan.
BESUT: Felda akan menampung sebahagian kos pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diberikan kepada anak-anak peneroka Felda.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata keputusan tersebut adalah sebahagian langkah Felda untuk memperluas peranan agensi berkenaan sesuai dengan prinsip berkongsi kekayaan.
“Felda bersetuju untuk berkongsi beban pembiayaan PTPTN ini dengan menampung sebahagian kos pinjaman yang diberikan khusus untuk anak-anak Felda dan sebahagian lagi dibiayai PTPTN,” katanya.
Najib berada di sini sempena lawatan singkatnya bagi menghadiri majlis jamuan Hari Raya Aifilfitri di padang bola Kg Tempinis, Kg Tasek Tok Lebai di Besut, Terengganu.
Beliau yang ditemui pemberita selepas majlis itu berkata Felda dianggar memperuntukkan RM15 juta bagi menampung kos berkenaan untuk tahun pertama.
“Keputusan Felda itu juga dapat bantu mengurangkan beban kewangan kerajaan selain menunjukkan kejayaan Felda khususnya dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) dalam Bursa Malaysia. Dengan dana tambahan diperoleh, Felda setuju untuk agihkan peruntukan itu kepada rakyat,” katanya.
Selain itu Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan Felda untuk memperluaskan skim latihan kemahiran yang dianjurkan oleh agensi itu kepada anak-anak bukan peneroka Felda.
Katanya seramai 2,000 peserta akan diberi peluang untuk mengikuti kursus-kursus latihan dan kemahiran seperti program di bawah skim Malaysia Airlines (MAS) (Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat) dan institusi-institusi lain.
Langkah itu, katanya boleh memberi nilai tambah dan pekerjaan yang lebih baik kepada peserta yang terbuka kepada masyarakat berpendapatan sederhana rendah dan miskin di bandar.
Najib berkata ia juga merupakan langkah tambahan kepada 12,000 rumah di kampung-kampung tradisional yang akan dibaik pulih melalui Felda.
- Bernama
No comments:
Post a Comment