Berapakah sebenarnya hutang PTPTN yang perlu ditanggung oleh kerajaan sekiranya pinjaman PTPTN dihapuskan?
Hutangnya adalah RM24.7 bilion. Ini adalah pinjaman yang telah dikeluarkan oleh peminjam-peminjam sehingga kini. Angka RM43 bilion yang disebut-sebut BN itu adalah jumlah keseluruhan pinjaman yang telah diluluskan. Sebahagian besarnya belum dibayar, ada juga yang membatalkan pinjaman di tengah jalan dan pelbagai perkara lain.
PTPTN tidak meminjam wang dari institusi kewangan berdasarkan pinjaman yang diluluskan. Ia meminjam mengikut keperluan mengeluarkan pinjaman kepada pelajar seperti yang dituntut pelajar. Oleh itu, jumlah yang perlu ditanggung kerajaan untuk menghapuskan hutang PTPTN ialah RM24.7 bilion, iaitu separuh dari angka RM43 bilion yang disebut-sebut Perdana Menteri.
Bagaimana KEADILAN mahu membayar jumlah RM24.7 bilion ini?
Seperti juga pinjaman rumah yang kita buat, ia melibatkan tempoh masa pembayaran yang panjang. Jumlah RM24.7 bilion ini bukanlah perlu dibayar sertamerta apabila KEADILAN memansuhkan hutang PTPTN. Jumlah ini akan dibayar mengikut tempoh masa 10 hingga 20 tahun di masa akan datang, seperti mana pinjaman-pinjaman lain yang dibuat kerajaan kini. Jumlah yang perlu dibayar setiap tahun adalah antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion mengikut anggaran KEADILAN.




